Landscape - Anjung Balai hasil adaptasi landskap Bali



PERABOT diimpot dari Bali menghiasi Anjung Balai.

Ferri Anugerah Makmur habiskan RM40,000 bina taman air

KEHIDUPAN masyarakat Bali, Indonesia, mencetuskan idea kepada pemilik banglo, Ferri Anugerah Makmur, 44, untuk diadaptasi di halaman kediamannya di Taman Sri Watan, Ampang.

PINTU menuju ke Anjung Balai
dibina seperti konsep
Bali di Indonesia.


Melalui pengamatan dan pengalaman sepanjang berada di sana, impian mewujudkan taman Bali di depan mata menjadi realiti. Anjung Balai diberi nama dan tetamu yang berada di situ, berasa seperti di Bali kerana selain disajikan deruan air, turut dialunkan lagu tradisional negara itu.

Ternyata, taman itu menggambarkan pemiliknya yang amat suka melihat kehidupan masyarakat Bali, yang baginya mengikut ritual dan adat resam dengan landskap menjadi sebahagian corak hidup mereka. Landskap seperti perkara wajib yang perlu ada bagi setiap kediaman.

“Selepas beberapa kali berkunjung ke Bali dan menemui sahabat karib saya Agung Rai, banyak perkara dipelajari dan minat saya terhadap landskap Bali semakin bercambah. Bagi saya, jika seseorang itu meminati landskap taman air Bali, dia perlu menjiwai kehidupan masyarakat Bali terlebih dulu,” katanya.

Ketika melewati deretan kediaman di lorong berkenaan, dari jauh kelihatan pintu gerbang yang ditempah khas dari Bali, simbolik konsep mesra tetamu yang diamalkan penghuni kediaman itu. Ia bukan hanya setakat tempat tinggal tetapi juga galeri dan pejabat baginya.

Laman kediaman itu dihiasi material kayu sentuhan berukir, pepohon hijau, pasu hiasan dan tempayan berisi air dipenuhi kiambang serta ikan bagai menggambarkan kehidupan masyarakat Bali yang tidak boleh dipisahkan dengan elemen air dalam pembentukan taman.

Desiran air terjun daripada batu-bata Bali mengalir ke sungai yang direka khas benar-benar menampakkan kehidupan masyarakat Bali. Ia direka sendiri dengan bantuan tiga seniman dari Indonesia yang juga rakannya.

“Semua bahan pembinaan termasuk batu-bata dan kayu berasal dari Bali.

Saya menghabiskan perbelanjaan hampir RM40,000 bagi memastikan cita-cita membina taman air Bali tercapai dan siap sepenuhnya pada tahun 2000.

“Apabila saya berada di Bali, saya dapati penduduknya membiarkan pokok tumbuh bebas dan merimbun tetapi teratur dan saya cuba menerapkan konsep ini dengan menghimpunkan pelbagai jenis pokok dalam satu kawasan.

“Jika disusun rapi tidak nampak asli dan apabila dibenarkan tumbuh bercampur ia mewujudkan suasana alam semula jadi,” katanya yang masih lagi menjalankan kajian mengenai taman Bali.

Sepanjang laluan menuju ke Anjung Balai di belakang rumah, Ferri menanam pokok pisang dari spesies Musa spp yang dibawa benihnya dari Indonesia dan disulam dengan pokok keladi gajah serta beberapa tumbuhan hiasan tropika lain di samping beberapa tempayan dipenuhi pokok teratai, kiambang, rumput cyperus dan pegaga.

“Saya memilih pokok pisang jenis ini kerana ia tidak berbuah sebaliknya mengeluarkan jantung berwarna ungu dan merah jambu yang nampak cantik, selain tidak besar dan tidak merosakkan rumah,” katanya.

Beliau berkata, memperuntukkan duit lebih bagi membina sebuah taman tidak boleh dikatakan sebagai pembaziran kerana paling penting ia memberikan kepuasan dan boleh berfungsi kepada pemiliknya.

“Bagi saya, tidak guna dibina taman besar tetapi tidak mendamaikan hati.

Fungsi taman ialah untuk memberi ketenangan tanpa perlu pergi jauh,” katanya.

No comments:

Search This Blog

Loading...