Landscape -Bali kontemporari pilihan Aishah



Pokok menghijau menghiasi taman, ruang banglo hasilkan udara segar, nyaman

SETIAP inci tanah rumah banglo di Desa Subang Permai ini yang menjadi kediaman pasangan Wan Chik Khalid dan Aishah Hassim, dimanfaatkan dengan bijak sehingga terhasil sebuah taman cukup indah dan mendamaikan.

Lebih menarik, pembentukan taman dan urusan penyelenggaraan dilakukan sendiri tanpa bantuan pakar tetapi hasilnya tidak mengecewakan, malah ia setanding dengan taman yang dibina seperti kediaman lain di sekitarnya.

Tanpa bantuan perunding landskap atau mendapat pendidikan formal, sebuah taman berkonsepkan Bali kontemporari menjadi realiti dengan hanya menjadikan majalah dan pengalaman melancong sebagai sumber ilham.

Aishah berkata, berkat sokongan dan bantuan sepenuhnya yang diberikan suami, pembinaan taman dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah memandangkan gandingan dua tenaga memudahkan lagi kerja pembentukan taman dilakukan.

"Sebenarnya, pada permulaan pembinaan saya tidak menetapkan sebarang konsep kerana bagi saya biar ringkas tetapi mendamaikan sudah mencukupi. Hasil pembacaan dan pemerhatian, saya dapati konsep Bali kontemporari mudah.

"Justeru, saya berbincang dengan suami dan kami bersepakat mewujudkan taman berkonsepkan Bali tetapi disesuaikan dengan keluasan halaman kami yang agak terhad dan senang kerja penyelenggaraannya," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pokok di tamannya ditanam dalam pasu bagi memudahkan untuk mengalihkan kedudukan jika berasa bosan dengan kedudukan sama. Lagipun, pokok berpasu lebih mudah dijaga.

Selain itu, katanya, pemilihan pokok berdaun dan mengurangkan penanaman pokok berbunga menjadikan kerja penyelenggaraan taman tidak sesukar mana, jika ia hanya perlu dilakukan seorang diri .

"Setiap hari, saya menghabiskan masa beberapa jam di taman untuk menyiram pokok dan pada waktu lain pula membersihkan, membuang daun kering, menanam atau mengubah kedudukan pasu dan tumbuh-tumbuhan.

"Sejak kecil saya seronok berdampingan dengan pokok dan bunga. Perkara pertama yang saya lakukan sebaik bangun tidur ialah buka tingkap dan jenguk ke luar tengok pokok sambil hirup udara segar," katanya.

Beliau yang lazimnya membeli benih dan pokok bunga di Sungai Buloh atau pusat semaian di beberapa tempat berdekatan, sering menghabiskan waktu senggang dengan menyelenggara taman tanpa kenal erti penat atau bosan.

"Selain itu, banyak juga pokok yang saya bawa dari rumah lama untuk memenuhkan taman di sini. Jika masih elok dan sesuai tidak ada salahnya. Lagipun kebanyakan pokok adalah jenis berdaun yang tahan lama dan lasak," katanya

Aishah berkata, tamannya sering menjadi pilihan tetamu dan saudara mara untuk bersantai apabila berkunjung ke rumahnya, Malah, ada yang mahu menikmati juadah di taman sambil menikmati suasana segar tanpa perlu pergi jauh.

"Ada juga rakan dan saudara mara mahu saya membina taman seperti ini di rumah mereka. Saya gembira dan berasakan ia adalah satu penghargaan kerana orang lain menghargai semua titik peluh selama ini," katanya.

No comments:

Search This Blog

Loading...