Landscape -Bonsai sesuai di laman sempit



Kreativiti bukan sekadar bantutkan pokok, juga sebagai dekorasi

TIDAK semua orang mampu menghayati keindahan dan keunikan tanaman bonsai. Namun, apabila hati sudah terpaut, bonsai sering dijadikan pilihan utama menghias kediaman sama ada luar atau dalam.

Bonsai, sejenis tumbuhan dalam pasu yang sengaja dikatikkan untuk memaparkan keindahan seni gubahan daun, susunan ranting serta nilai keunikan batang dan akarnya.

Dalam bahasa Jepun, bonsai bermaksud 'tanaman dalam pasu'. Pokok yang dibonsaikan umumnya pohon berkayu (misalnya pohon beringin) atau pohon bunga, tidak ketinggalan pokok buah-buahan.


BONSAI bukan semata-mata pokok, tetapi
suatu pemandangan kehidupan.

Pakar bonsai Britain, Peter D Adams, berkata bonsai turut menjadi kegilaan masyarakat Jepun sekitar 1,000 tahun lalu dengan menceduk idea seni halus tumbuhan dari China dengan pengubahsuaian dekorasi dan penghasilan lebih bernilai.

Bonsai kali pertama diperkenalkan di China kira-kira 1,000 tahun lalu, namun dilanjutkan penanaman oleh masyarakat Jepun. Penanaman bonsai paling banyak di Jepun, tetapi kini semakin digemari di negara kita.

Kesan artistik daripada bonsai dilihat daripada keseimbangan dalam ukuran batang, daun, ranting bunga, selain bentuk pasu yang digunakan. Pasu yang dipakai haruslah yang mendukung suasana pohon yang ditanam dan lazimnya berbentuk kawah dengan permukaannya lebih besar.

Pemilik Sanfong Bonsai & Art Garden, Fanny Lim, berkata nama bonsai begitu sinonim dengan Jepun dan umumnya mengetahui seni `membantut' pokok itu warisan negara matahari terbit berkenaan sejak berabad lalu dan kini muncul menjadi penghias laman dan taman di seluruh dunia.

Beliau berkata, ada beberapa ukuran bonsai yang digunakan iaitu miniatur, kecil dan sederhana. Miniatur biasanya berukuran tinggi sekitar lima sentimeter (sm) dan cantik ketika berusia tiga hingga lima tahun.

"Bonsai kecil biasanya mempunyai tinggi lima hingga 15 sm dan memerlukan persiapan sekitar lima hingga 10 tahun. Bonsai ukuran sederhana mempunyai ketinggian antara 15 hingga 30 sm, dan bonsai agak besar mempunyai tinggi 60 sm dengan waktu persiapan lebih singkat.


BONSAI perlu diikat dengan dawai
bagi membentuk dahan.

"Ada pelbagai gaya bonsai, tetapi hanya 10 pokok saja dikenal pasti memberi nilai seni yang tinggi iaitu pokok beech, Chinese Elm, Chinese Juniper, Crab Apple, Firethon, Japanese Black, Pine, Japanese Larch, Japanese Maple, Japanese White Pine dan Trident Maple," katanya.

Beliau berkata, untuk iklim negara ini, anak benih yang sesuai ditanam adalah daripada spesies ara Taiwan atau dikenali sebagai `ficus microcarpa', jejawi (ficus benjamina) dan kemuning (muraya exotica).

"Pokok ini tahan cantasan. Memiliki tekstur sederhana halus dan padat dengan daunnya hijau berkilat memang senang digubah. Pokok yang selama ini terbiar bersama spesies lain daripada keluarga sama iaitu marraya koenigii atau lebih dikenali pokok daun kari semakin bernilai harganya," katanya.

Beliau berkata, bonsai turut menjalani perubahan dan bukan sekadar hanya ditanam satu pokok semata-mata, tetapi ia turut berubah dengan peredaran zaman dan ditambah dengan kreativiti individu menjadikan ia pilihan kebanyakan pemilik kediaman yang mempunyai laman terhad.

Dikenali sebagai mambonsai, ia satu kreativiti yang bukan sekadar membantutkan pokok, tetapi menjadikan seni hias pokoknya sebagai dekorasi figura, sekali gus memberikan dimensi abstrak kepada bonsai.

“Bonsai jenis ini sesuai bagi kediaman tidak mempunyai laman luas dan pemiliknya tidak gemar tumbuhan terlalu besar menutup pemandangan apabila bersantai di laman. Ia boleh dikatakan baru dalam seni taman.

“Era moden bonsai sebenarnya bermula 20 tahun dulu di sebuah parit di luar rumah seorang ahli muzik mambo Jepun terkenal, Paradise Yamamoto. Pada suatu hari Yamamoto tertarik apabila melihat lumut tumbuh di parit rumahnya dan sejak itu, dia menanam lumut di dalam bekas kecil.

"Apabila meletakkan kereta api miniatur di atas lumut itu, dia menyedari sesuatu. Dia tidak lagi berdepan dengan pasu, tetapi landskap besar Pulau Hokkaido. Idea yang datang kepada dirinya ialah melihat bonsai tidak sebagai pokok semata-mata, tetapi suatu pemandangan kehidupan," katanya.

Beliau berkata, bonsai yang dimiliki Yamamoto, termasuk yang menampilkan gaya istimewa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il, siri tumbuhan asing merayap dari bawah dahan bonsai dan pelbagai lagi yang melambangkan kehidupan.

Katanya, pelbagai jenis dan ditempah oleh pelanggan mengikut cita rasa masing-masing kerana taman bonsai ini mudah dan mengambil masa singkat untuk disiapkan. Material pula kebanyakan diimport dari China kerana lebih berkualiti.

“Harga sebuah mambosai bergantung kepada pokok dan pasu yang digunakan. Semakin lama jangka hayat pokok, semakin mahal harganya. Pemilik kediaman boleh mendapatkannya dari harga serendah RM50,” katanya.

INFO

  • Anda perlu mengenal pasti jenis pokok yang hendak dikatikkan. Penggunaan sudip, pemangkas, gergaji, guni kain diperlukan sesuai struktur tanah di kawasan pokok.

  • Tanaman atau pohon dikerdilkan dengan memotong akar dan rantingnya. Pohon dibentuk dengan bantuan kawat pada ranting dan tunasnya.

  • Penggunaan 70 peratus tanah campuran pasir kerikil dan 30 peratus bahan organik, termasuk reputan daun perlu kepada pokok yang baru diambil.

  • Penggunaan baja kimia yang dipasarkan tidak digunakan langsung kerana pokok ini lebih sesuai dibajai secara konvensional iaitu menggunakan kompos atau organik.

  • Keindahan pokok lebih menampilkan nilai seni apabila ditanam di ruangan sempit serpihan kayu cengal atau batang kayu yang terbuang.

    Ciri pokok yang sesuai dibonsaikan

  • Tahan lama dan mempunyai jangka hayat yang panjang.
  • Berdaun kecil kerana sesuai dengan pokoknya yang kecil.
  • Tahan lasak dan sesuai dengan iklim panas dan lembap.
  • 1 comment:

    ARCA DAMAI said...

    Encik/cik,

    Saya nak tanya apa beza antara bonsai & topiari? Kata en/cik, bonsai adalah pokok yg dikatikkan. Saya rasa timbul silap pemahaman apabila ada pkk2 yd ditopiarikan dianggap sebagai bonsai.

    Search This Blog

    Loading...