Landscape -Ciri Melayu hiasi laman lot tengah



RUANG depan yang menempatkan set perabot untuk
kemudahan tetamu, terserlah dengan gaya Melayu tradisional.

Kawasan terhad bukan halangan bina lanskap dengan aksesori tradisional

KAWASAN terhad bukan bermakna kita tidak boleh menerapkan konsep yang diingini pada laman kediaman kita. Sama ada konsep tropika, Bali, Jepun, mahupun konsep laman Melayu, ia terpulang kepada cita rasa masing-masing.

Bagi pemilik rumah, Ismail Chik, menduduki rumah teres lot tengah yang tidak mempunyai halaman sisi dan belakang bukan alasan untuk tidak menjadikan konsep laman Melayu satu kenyataan.

“Sebagaimana adat, pembinaan laman kediaman Melayu sangat tersusun rapi. Susun atur taman Melayu terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu taman hadapan, laman sisi dan laman dapur.

“Walaupun saya menduduki rumah teres lot tengah yang hanya mempunyai laman depan, itu tidak bermakna saya tidak boleh menerapkan konsep berkenaan pada kediaman ini.


RUANG tamu menonjol dengan hiasan Melayu tradisional.

“Saya cuba mereka bentuk sebuah landskap laman Melayu dengan mempamerkan seberapa banyak elemen dan ciri-ciri Melayu yang unik tetapi sesuai pada masa kini. Ini bermaksud tidak terlalu sarat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kawasan terhad, wakaf sebagai tempat beristirehat turut dibina selain dihiasi aksesori taman seperti lampu, peti surat, beduk, batu giling, bubu ikan dan kapok padi bagi menjadikannya ia lebih hidup.

“Laman ini saya berikan gelaran ‘Sari Indah Melayu’. Bagi menampakkan kelainan, saya juga membina pintu gerbang diperbuat daripada kayu cengal lama. Bumbungnya daripada kayu berbentuk limas iaitu lambang rumah Melayu Johor dengan hiasan matahari terbit dan tunjuk langit,” katanya.

Beliau berkata, tiang pagar dihiasi kotak lampu daripada kayu bersilang manakala pagar pula diperbuat daripada kayu cengal melintang. Ia sengaja dibina dengan corak menegak dan mempunyai hujung tajam seperti lembing di zaman dulu.

“Saya juga menggunakan banyak barang perhiasan lain untuk menghidupkan lagi suasana budaya Melayu seperti tikar mengkuang, tudung saji, kain songket, bakul rotan dan kipas antik,” katanya.

Ismail berkata, bagi tetamu yang ingin menghirup udara segar, laman depan turut diletakkan perabot beralaskan tikar mengkuang, bunga gantung serta dihiasi bubu supaya mereka berasa damai apabila berkunjung ke kediamannya.

“Memandangkan kawasan laman saya terhad, saya tidak menanam pokok terlalu besar kerana takut kelihatan serabut dan menyakitkan mata. Mungkin jiwa saya tidak suka kepada persekitaran yang terlalu padat.

“Elemen air tidak saya abaikan kerana saya percaya ia adalah satu terapi jiwa. Selepas penat, jiwa kita memerlukan ketenangan bagi memastikan kita lebih tenang untuk menjalani hari-hari berikutnya,” katanya.

Bagi menyesuaikan laman Melayu dengan kediamannya, beliau mengubah pintu dan tingkap seperti rumah Melayu dengan bingkai kayu panjang dan kaca bunga berwarna seperti oren, biru, kuning dan hijau.


PINTU gerbang diperbuat daripada kayu cengal
menyerikan lagi konsep Melayu tradisional.

“Saya turut membawa masuk konsep laman ini dalam reka bentuk dalaman supaya ada kesinambungan antara luar dan dalam. Saya juga sukakan persekitaran terbuka,” katanya.

Beliau berkata, jika mahu kediaman nampak sempurna, cara menghias laman dan ruang dalam perlu ada kesamaan supaya tidak dikatakan terlalu jauh dari konsep laman Melayu yang sebenar.

“Kebanyakan lantai dalam kediaman saya dialaskan dengan tikar rotan tegak lilin buatan Malaysia dengan anyaman yang begitu rapi dan kreatif. Tidak dilupakan juga kain songket tenunan Terengganu sebagai hiasan tambahan,” katanya.

FAKTA
Laman idaman Ismail


  • Mendapat idea hasil kajian dan pembacaan melalui buku dan internet.
  • Memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk membina laman Melayu termasuk wakaf, pergola dan kolam.
  • Halaman berkeluasan tujuh meter x sembilan meter.
  • Mengambil masa sebulan untuk menyiapkan laman termasuk hiasannya.
  • Mempunyai laman Melayu sejak lima tahun lalu.
  • Semua material laman berasaskan produk tempatan.
  • Pokok yang ditanam termasuk halia, misai kucing, bunga kertas, pinang sirih, keladi, Jejarum dan puding.
  • Wakaf dan pergola diperbuat daripada kayu cengal kerana tahan panas dan hujan.
  • 1 comment:

    hj said...

    http://kolamhiasan.blogspot.com/p/galeri-dan-sampel-kolam.html

    temui kami di http://kolamhiasan.blogspot.com/p/galeri-dan-sampel-kolam.html

    Search This Blog

    Loading...