Landscape -Laluan taman serlah keindahan

Oleh Norakmah Mat Youb

LALUAN pejalan kaki yang dibina di setiap laman bukan sekadar keperluan untuk berjalan melintasi ruang dalam taman itu tetapi sebenarnya berperanan penting menaikkan mood seseorang selain memberi impak rupa taman berkenaan.

KOMBINASI laluan pejalan kaki berkonsep suasana di taman.

Bagaimanapun, sebelum membinanya, pemilik kediaman perlu memikirkan lebih mendalam reka bentuk dan arah laluan itu supaya berupaya memberi manfaat serta kesan positif terhadap keindahan laman yang pastinya menenangkan jiwa.



Arkitek Landskap, Norhaliza Hanifah, berkata, laluan pejalan kaki dalam laman harus praktikal dan selesa walaupun laluan berkenaan pendek, manakala laluan lurus serta kecil di tepi atau belakang rumah pula perlu sesuai dengan kegunaannya.

KAYU terbuang juga
kelihatan unik dijadikan
laluan pejalan kaki
di taman.

“Jika laluan dibina di taman untuk bersiar-siar, ia harus dibina secara landai, sedikit beralun dan agak bengkang-bengkok supaya pemilik dapat menikmati keindahan alam semula jadi di taman dengan lebih dekat lagi.

“Mengikut prinsip rekaan taman, jika laman direka bentuk dengan elemen dan fesyen geometri, laluan pejalan kaki sebaiknya lurus serta bersesuaian dengan bentuk laman. Ketika proses membinanya, pastikan pembentukan dasarnya dilakukan dengan baik.

“Ini untuk memastikan ia panjang hayatnya dan hasilnya sentiasa cantik. Jika asas pembinaan laluan tidak kukuh, mudah berlaku keretakan pada laluan, hilang seri dan kurang nilai pada landskap berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai bahan boleh digunakan untuk dijadikan sebagai laluan sama ada untuk laluan kekal atau sementara yang boleh diubah pada bila-bila masa mengikut cita rasa pemilik kediaman dengan harga berpatutan.

“Laluan boleh dibina sama ada menggunakan kayu, konkrit, batu pebbles, batu-bata, pasir, jubin dan bahan lain secara bersendirian atau gabungan beberapa bahan. Rupa laluan itu pula bergantung kepada jenis material digunakan,” katanya.

Norhaliza berkata, membina laluan dalam taman memerlukan kemahiran kerana laluan kekal memerlukan asas yang baik dan sempurna. Langkah terbaik ialah mendapatkan khidmat kontraktor supaya hasilnya memuaskan hati.



Beliau berkata, laluan kekal berbeza dengan laluan mudah alih yang lebih ringan untuk dibina sendiri terutama laluan menggunakan bahan siap dari kedai seperti kayu ‘railway sleepers’, kepingan slab konkrit dan batu-bata.

“Paling penting, material kukuh, rata dan mudah untuk air mengalir. Pastikan satu lapisan pasir setebal 25 milimeter dibina sebagai laluan aliran air di bawah laluan berturap supaya kawasan sekitar laluan tidak ditakungi air.

“Seelok-eloknya lebar laluan pula dibina untuk dua orang bagi memudahkan berjalan apabila berlaku pertembungan di laluan sama. Jika bercadang menaikkan seri pada laluan berkenaan pula, boleh juga ditanam pokok bersesuaian,” katanya.

INFO: Tips membina laluan

# Kayu mudah reput jika selalu ditakungi air. Sentiasa pastikan air dialirkan jauh darinya supaya memanjangkan usia kayu itu.

# Laluan diperbuat daripada batu bata boleh diperoleh daripada runtuhan bangunan. Selain menjimatkan wang ia kelihatan unik.

# Batu-bata boleh disusun tegak atau rata. Gunakan batu yang sama digunakan pada dinding rumah supaya jelas kelihatan rupanya.

# Cuci segala lumut yang ada pada laluan menggunakan air panas bersabun dan diberus.

# Jangan menanam pokok yang mampu mengangkat atau mencungkil bahan laluan keluar dari tempatnya.

No comments:

Search This Blog

Loading...