Landscape -Laman desa


Mazlina memilih pokok jenis renek kerana lebih mudah menjaganya, selain deruan air terjun buatan melengkapkan lagi kedamaian

BERLATARKAN pagar kayu, halaman rumah banglo dua tingkat yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam ini, menyerlahkan suasana desa di tengah kota. Ia menonjolkan pemiliknya sebagai seorang yang gemarkan alam semula jadi.

PERGOLA dibina pada
bahagian bumbung mewujudkan
suasana kedesaan.


Berkonsepkan mesra tetamu, pastinya sesiapa saja berasa tenang ketika menghirup udara segar dengan deruan air terjun buatan di halaman rumah banglo berkenaan. Pepohon hijau yang tersusun rapi, melengkapkan lagi kedamaian di halaman rumah ini.

Pemilik rumah, Mazlina Zainal Abidin, berkata sesebuah kediaman tidak lengkap tanpa laman hijau di sekeliling rumah kerana baginya biar sekecil mana keluasan rumah dan laman, yang penting suasana hijau itu perlu ada.

“Disebabkan itulah sejak berpindah ke sini, tiada lain yang difikirkan kecuali mengilhamkan sebuah laman hijau, sedap mata memandang bukan saja kepada kami seisi keluarga malah untuk tetamu juga.

“Kehijauan di laman rumah banyak kelebihannya. Ia melambangkan keaslian flora semula jadi, ketenangan serta kedamaian. Konsep kedesaan pula memang menjadi idaman semua ahli keluarga,” katanya.


Beliau berkata, kebanyakan pokok yang dipilih bagi menghiasi laman berkonsepkan kedesaan ialah jenis renek dan tidak berbunga kerana lebih mudah penjagaannya serta bersesuaian dengan gaya diingini.

Untuk melengkapkan lagi konsep laman tradisional, pemilik bijak menjadikan beranda di bahagian depan kediaman dengan membina pergola pada binaan bumbungnya sekali gus menonjolkan gaya kedesaan itu.

Di ruang itu, sudut berkenaan menempatkan set kerusi dan meja kayu yang sesuai untuk aktiviti santai seisi keluarga. Ia menjadikan kediaman ini agak berbeza sedikit dan unik berbanding lain.

Susun atur keseluruhan landskap tampil ringkas dan teratur dengan tanaman disusun selari pada bahagian tepi laman, membiarkan bahagian tengah kosong, memadai dengan kehadiran batu pemijak merentasi bahagian rumput.

Kekuatan landskap ini dapat dilihat dengan kehadiran air terjun mini yang diolah rekaannya, mengambil ilham elemen semula jadi. Ia turut dilengkapi binaan papan kayu seperti lantai dek menghubungkan air terjun dengan landskap menghijau.

Pastinya, suasana desa permai tentu dapat dinikmati tatkala berehat di bahagian tengah yang menempatkan set kerusi dan meja santai. Lebih seronok lagi jika berehat di wakaf yang dibina berhampiran air terjun mini ini.

“Saya membina wakaf ini untuk istirahat seisi keluarga pada hujung minggu serta menjadi tempat anak-anak merasai suasana kampung dengan melakukan aktiviti luar bersama-sama. Pelbagai aktiviti seperti bermain permainan tradisional seperti congkak, selain membaca buku,” katanya.

Kesuburan dan kesegaran semua pepohon hijau yang ditanam keluarga itu sedikit pun tidak menyakitkan mata, malah memukau pandangan kerana susun atur begitu kemas dan teliti. Pepohon hijau kecil disusun sebaris, begitu juga dengan pepohon yang sudah dewasa diletakkan selari bagi menampakkan seni taman idea sendiri.

“Biasanya cuti hujung minggu antara waktu paling sesuai untuk menyelenggarakan laman ini kerana ketika itulah kami seisi keluarga berkumpul. Sebenarnya aktiviti menyiram pokok, mencabut rumput dan membasuh lantai tanpa disedari mengeratkan ikatan kekeluargaan dan kasih sayang," katanya.

No comments:

Search This Blog

Loading...