Landscape -Pasu aksesori menarik laman tropika


Keindahan sesuatu landskap bukan dinilai pada kos tetapi cara penjagaan, susunan setiap elemen


KOLEKSI pasu tembikar China penyeri
sudut kediaman.

PASU bukan sekadar aksesori taman sebaliknya pelengkap keseluruhan laman kediaman. Bersama bentuk serta warna menarik, keunikan pasu mampu menyerlahkan keindahan bunga mahu pun pepohon hijau yang bernaung di dalamnya. Tidak hairan, ramai pemilik rumah gemar menjadikan pasu sebagai koleksi wajib.

Bagi penerbit drama dan filem, Raja Alawiah Idris, himpunan pasu termasuk tempayan buatan China dijadikan titik tumpuan di beberapa lokasi di laman tropika hasil sentuhannya bersama suami, Mansor Che Mat. Paling disayangi pasu antik China berusia 50 tahun serta sepasang tempayan Indonesia selain pagoda Yogjakarta yang dihasilkan daripada batu gunung berapi.

Pasangan yang mempunyai tiga cahaya mata ini juga rajin mengalih kedudukan setiap pasu jika dirasakan taman mereka perlu kelainan.

Sesekali beliau menukar satu bunga ke pasu lain, begitu juga sebaliknya. Walau renyah, perubahan itu membuatkan setiap pohon tampak berbeza daripada sebelumnya.

“Umpama pakaian, setiap hari kita perlu bertukar ganti. Begitu juga bunga dan pasu. Kami tidak berasakan ia bebanan walaupun tugasan ini agak berat. Saya pula jenis yang gemar bereksperimentasi. Biasanya saya suka mengalih pokok bunga ke dalam pasu lain,” katanya yang memperuntukkan kira-kira sejam setiap pagi membelek pepohon kesayangan sebelum ke pejabat.

POHON tamar menyerlah
di dalam tempayan.


Meninjau hias laman kediaman Pengarah Urusan Bright Network itu, pelbagai jenis spesies flora dibiar melatari laman. Daripada bourganvilla, helifornia, buluh, pink lady, hingga yucca. Istimewanya, pokok bunga yang kebiasaannya merimbun di tanah ditempatkan dalam pasu atau tempayan. Ada antara guri kesayangan pula sengaja dibiar kosong bagi menyemarakkan lagi suasana.

Pasangan yang menganggap pepohon hijau dan bungaan segar sebagai terapi minda itu sanggup meredah keheningan pagi minggu ke Sungai Buloh demi mencari tanaman baru. Jika insan lain berpusu-pusu ke pusat beli-belah atau taman rekreasi, mereka lebih puas mencurah keringat membersihkan persekitaran kediaman.

Disebabkan minat mendalam terhadap flora, Raja Alawiah yang membahasakan dirinya Kak Raja tidak mengupah tukang kebun sebaliknya segala kerja penyelenggaraan dan mencantas dilakukan sendiri. Ia bukan perkara mudah, selain tanaman dan pokok bonsai, landskap kediaman turut diserikan pancuran serta kolam yang dipenuhi kira-kira 100 koi Jepun.

Katanya, landskap tidak lengkap tanpa kombinasi elemen flora, fauna, air dan batu. Justeru, tiga tahun lalu berasaskan lakaran sendiri, mereka mengupah kontraktor membina kolam bersekali pancuran di tengah laman yang bersebelahan ruang istirehat keluarga. Ini ditambah air terjun buatan di sudut kediaman.

“Pujian harus diberikan kepada suami saya yang begitu rajin menghias laman kami. Lebih seronok rasanya melihat hasil kerja sendiri berbanding mengu-pah perunding landskap. Lagi pun, kita boleh berjimat dan menyalurkan peruntuk untuk menambah koleksi tanaman. Apabila pasangan kita mempunyai minat sama, kita dapat berkongsi pendapat dan mereali-sasi-kan laman impian.

“Contohnya macam ikan koi ini, sama-sama minat jadi walau sesibuk mana kami pastikan ‘mereka’ tidak diabaikan. Kehadiran ikan yang kami pelihara sejak ia kecil ini juga adalah gabungan idea bersama. Pernah satu ketika tujuh ikan kami mati serentak disebabkan air melimpah berikutan hujan, satu keluarga bersedih,” katanya.


TIDAK lupa 'membelai' ikan koi kesayangan.

Sebaik duduk di ruang santai keluarga, mata dijamu kehijauan manakala telinga disogok desiran air terjun. Asyik melihat ikan koi berkejaran di kolam yang dibina mengelilingi ruang terbuka itu, pandangan boleh ditumpukan pula ke pinggir kediaman.

Pada sudut tersorok di tepi rumah pula, tersergam sebuah taman Jepun garapan tuan rumah. Pohon buluh bersama pangkin kayu tampak biasa namun kehadiran arca burung besi menonjolkan imej negara matahari terbit.

Terdahulu sebelum menjejakkan kaki ke mahligai keluarga bahagia itu, sudah terlihat kawasan luar pagar berhias deretan pohon kemboja Thailand. Warna bungaan mekar yang bersulam putih dan merah jambu saja sudah memancing pandangan, apatah lagi baunya untuk menyambut tetamu.

Sebaik pagar dibuka, pada bahagian kiri kediaman yang juga berdekatan ruang pakir kenderaan terserlah minat empunya kediaman terhadap tumbuhan harum. Sesuai dengan namanya, Taman Wangi, di situ dihimpunkan bermacam pepohon segar termasuk jasmine dan sirih.

Seperti kata Kak Raja, keindahan sesuatu landskap bukan dinilai berdasarkan jumlah peruntukan tetapi cara penjagaan serta susunan setiap elemen yang mampu memberi kepuasan kepada pemilik.

No comments:

Search This Blog

Loading...