Landscape -Tembok pagar sedondon



Lumrah kediaman besar guna konkrit, besi sebagai asas sempadan untuk kukuh

APABILA menyebut pagar dan sempadan pemisah, masyarakat kini begitu menggilai rekaan pagar pelbagai material semata-mata untuk menjadikan kediaman terserlah sekali gus mencuri perhatian orang lalu-lalang.


Pagar dan tembok sekeliling bukan saja berfungsi sebagai pelindung dan pemisah daripada kawasan sekitar serta pandangan terus dari luar tetapi juga elemen penting dalam pembinaan sesebuah kediaman terutama yang mempunyai taman.

Andai kata diberi pilihan mewujudkan garis pemisah dengan kediaman jiran atau jalan utama, apakah struktur yang menjadi pilihan? Pokok pagaran dilatari tumbuhan memanjat, jeriji besi dengan pelbagai rekaan bentuk atau konkrit dengan kemasan terpilih sering menjadi pilihan.

Bagaimanapun, terpulang kepada pemilik yang penting ia mempunyai fungsi utama iaitu melindungi kediaman. Hakikatnya, menentukan pagar dan sempadan hiasan bukanlah sesuatu yang sukar asalkan faham konsepnya.

Pemilik Hosenta Trading, Hussein Taha, berkata, pagar adalah kesinambungan terhadap rekaan kediaman. Justeru, penting untuk kita mengetahui rekaan kediaman dan taman kerana ia dilihat sebagai objek seni yang indah dan sewajarnya dibina dengan lengkap.

"Sebelum membina pagar dan sempadan apa yang perlu diketahui ialah konsep taman dan kediaman yang bakal diwujudkan, selepas itu idea membina sempadan berkenaan akan menyusul dengan mudah.

"Terdapat dua jenis sempadan hiasan ini sama ada sempadan semula jadi atau buatan manusia tetapi perlu diingatkan apa juga material utama membuat pagar, tembok yang menjadi struktur penyokong sekeliling harus tampil sedondon," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pemilik kediaman tidak dapat memperuntukkan masa terlalu lama untuk menjaga keadaan taman supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan sempurna. Jadi, sempadan hiasan buatan manusia lebih praktikal.

"Pagar dan sempadan ciptaan manusia lebih mudah diselenggarakan dan dijaga terutama bagi pemilik kediaman di bandar kerana kekangan masa serta aspek keselamatan yang perlu difikirkan.

"Memang lumrah bagi kediaman besar menggunakan gandingan tembok konkrit dan juga besi sebagai asas sempadan hiasan dengan alasan lebih kukuh dan kemas. Bagaimanapun, untuk mengelakkan latar taman nampak kaku, menanam beberapa pokok renek adalah langkah terbaik.

"Pokok renek yang berpotensi untuk tumbuh sehingga tiga meter boleh dipertimbangkan tetapi penting mengenal pasti visual yang bakal diperoleh apabila ia membesar setahun atau dua tahun akan datang.

"Untuk penataan latar taman yang lebih menarik, tambahan plak simen berukir dengan motif flora atau geometri amat sesuai bagi taman berkonsepkan Bali atau tropika kontemporari. Lubang kecil membolehkan arah aliran angin tidak terhalang tetapi pada masa sama menapis angin yang banyak ke taman.

"Bagi pemandangan yang agak menarik tetapi mudah dijaga ialah dengan memilih tembok daripada batu hiasan seperti kepingan konkrit simen yang boleh digunakan sebagai alternatif pokok pagaran," katanya.

INFO
Fungsi pagar dan sempadan


  • Melindungi kediaman daripada pandangan luar dan menghalang binatang seperti anjing masuk ke halaman.

  • Memberi privasi antara pemilik dan orang luar serta langkah awal keselamatan.

  • Menapis kemasukan angin ke taman dan menghalang tiupan angin kuat

  • Menjadi titik tumpuan taman kesan reka bentuk pangkasan pokok pagaran dan bentuk kemasan dinding konkrit yang menarik.

  • Berfungsi melindungi pokok renek atau tumbuhan tutup bumi.
  • No comments:

    Search This Blog

    Loading...