Landscape - Kreativiti seni bonsai Melayu

Kreativiti seni bonsai Melayu


Sentuhan masa lapang Abdullah menggunakan pokok tempatan pernah ditawarkan harga lumayan

POKOK tempatan menghasilkan bonsai yang cantik dan unik

BONSAI, sejenis tumbuhan dengan keunikan dan keindahan mengasyikkan, sering dikaitkan dengan golongan berada dalam masyarakat Tionghua kerana dipercayai mampu memberi tuah kepada pemiliknya.

Kaitan itu menyebut mereka tidak lokek mengeluarkan belanja besar sehingga ribuan ringgit bagi mendapatkan bonsai yang mampu bertahan lama kerana kepercayaan lebih lama hayat tumbuhan itu, lebih tuah kepada kehidupan mereka.

Jarang sekali bonsai yang bermaksud `tanaman dalam pasu' dalam bahasa Jepun dan diperkenalkan di China sejak 1,000 tahun lalu dikaitkan dengan masyarakat Melayu.

Alasan utama - pokok yang dibonsaikan umumnya pohon berkayu seperti beringin atau pohon bunga atau pokok buah-buahan memerlukan penjagaan rapi serta kos yang tinggi.

Namun, Abdullah Rus Mohamad, 33, membuktikan sebaliknya dengan menjadikan seni tanaman bonsai sebagai hobi waktu senggangnya, terutama petang selepas bekerja.


BONSAI unik dan memerlukan penjagaan rapi

Lebih menarik bonsai kepunyaannya bukan dibeli atau diimport dari luar negara, sebaliknya menggunakan pokok tempatan seperti santalia, ara putih, ara liar, ara hutan dan pokok hiasan teh pagar.

Hasil hobi yang bermula sejak sedekad lalu, dia kini mempunyai kira-kira 30 pokok bonsai yang memaparkan keindahan seni gubahan daun, susunan ranting serta nilai keunikan batang dan akar tersendiri.

Ia menambah kehijauan laman kediamannya di Taman Mawar, Titi, dekat Kuala Klawang, Jelebu.

Dia yang kini bekerja bebas selepas berhenti dari sebuah kilang di Senawang, dua tahun lalu, berkata seni bonsai amat mengasyikkan jika dilakukan dengan penuh tumpuan.

"Seni bonsai adalah sesuatu yang unik dan boleh membuatkan saya asyik dan leka apabila melihatnya. Bagaimanapun, saya hanya memberi tumpuan apabila ada masa lapang, terutama selepas waktu kerja.

"Jika tidak, sudah tentu saya leka dan seharian tidak membuat kerja langsung," seloroh bapa kepada lima anak itu.

Keseluruhan pokok bonsainya dibentuk hasil daya kreativiti sendiri, termasuk menggunakan bahan yang mudah didapati seperti tunggul kayu dan batu sungai sebagai perhiasan.

"Walaupun kreativiti sendiri, saya puas hati kerana hasilnya tidak menghampakan. Kesan artistik daripada bonsai dilihat daripada keseimbangan dalam ukuran batang, daun, ranting bunga dan bentuk pasu digunakan.

POKOK senangin antara
yang paling sesuai
dibonsaikan


"Pasu yang dipakai haruslah yang mendukung suasana pohon yang ditanam dan lazimnya berbentuk kawah dengan permukaan lebih besar," katanya, yang berkongsi minat itu bersama isteri, Ruslaili Omar, 32.

Ruslaili turut mencurahkan idea untuk menghasilkan bonsai yang menarik dan unik.

"Isteri saya banyak membantu menyumbang idea bagi menghasilkan bonsai yang cantik dan unik. Namun, saya melarangnya memegang pohon berkenaan... hanya menyiram terutama selepas subuh dan waktu malam," katanya.

Abdullah tidak menafikan pernah didatangi masyarakat Tionghua yang menawarkan harga tinggi bagi mendapatkan bonsainya.

"Mereka terkejut kerana bonsai saya mempunyai gubahan dan keunikan tersendiri. Lagipun, ia bukan diimport, sebaliknya menggunakan pokok tempatan yang jarang diperoleh.

"Bagaimanapun, saya masih belum terbuka hati menjual walaupun mendapat tawaran yang tidak mampu ditolak. Mungkin lain kali kerana saya masih sayang dan mahu menjaga semua bonsai ini," katanya.

FAKTA

Panduan tanam bonsai

  • Kenal pasti jenis pokok yang hendak dikatikkan.

  • Penggunaan sudip, pemangkas, gergaji, guni kain perlu sesuai dengan struktur tanah di kawasan pokok.

  • Tanaman atau pohon dikerdilkan dengan memotong akar dan rantingnya.

  • Pohon dibentuk dengan bantuan kawat pada ranting dan tunas.

  • Penggunaan 70 peratus tanah campuran pasir kerikil dan 30 peratus bahan organik, termasuk reputan daun perlu kepada pokok yang baru diambil.

  • Penggunaan baja kimia tidak digunakan langsung, sebaliknya lebih sesuai dibajai secara konvensional menggunakan baja kompos atau organik.

  • Keindahan pokok lebih menampilkan nilai seni apabila ditanam di ruang sempit serpihan kayu cengal atau batang kayu yang terbuang.

    Ciri pokok yang sesuai dibonsaikan

  • Tahan lama dan mempunyai jangka hayat panjang.

  • Berdaun kecil.

  • Tahan lasak dan sesuai dengan iklim panas dan lembap.
  • No comments:

    Search This Blog

    Loading...